Sunday, June 1, 2008

'Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan'

Kotobian tadau tagazo do kaamatan..... demikianlah ucapan yang acapkali didengar apabila tibanya bulan Mei pada setiap tahun. Di Sabah, 30 Mei merupakan cuti umum Pesta Menuai. Biasanya,pada tarikh ini akan berlangsung acara-acara yang menarik sebagai penutup musim menuai padi.

Pesta Kaamatan atau juga dikenali sebagai ‘magavau’ oleh masyarakat kadazandusun Sabah disambut pada bulan Mei setiap tahun. Perayaan ini diadakan bagi memperingati ‘Bambazon’ iaitu semangat padi. Menurut kepercayaan kaum kadazandusun, Bambazon merupakan semangat padi yang disembah dan mempunyai kuasa terhadap sumber makanan iaitu padi. Kerana Bambazon ini, maka masyarakat kadazandusun percaya bahawa ‘tiada padi, tiada kehidupan’.

Pada acara kemuncak pesta menuai ini, pelbagai acara akan diadakan seperti ‘unduk ngadau’ (ratu cantik), tarian sumazau dan upacara khas yang dilakukan oleh ‘bobohizan’ atau ketua pendita. Ia akan diserikan lagi dengan persembahan lagu-lagu kadazan dusun seperti Kasaakazan Do Bambaazon dan Misompuru Id Koubasanan.

Saya bukanlah berasal dari suku kaum ini, namun saya pernah berpeluang meraikan perayaan ini bersama-sama rakan-rakan kaum kadazan dusun. Sememangnya sambutan pesta menuai ini begitu unik. Pada hari kaamatan, ramai yang akan memakai pakaian tradisi mereka, serba hitam. Bukan sahaja warga veteran, tetapi anak-anak muda juga sangat bangga memakai pakaian yang serupa.

Dalam acara-acara yang diadakan, kebanyakannya akan disertai oleh remaja juga. Acara yang paling popular adalah seperti ‘unduk ngadau’ di mana setiap tahun seorang gadis akan dinobatkan sebagai juara ‘unduk ngadau’ peringkat negeri. Tetapi, hanya anak gadis dari suku kaum ini sahaja yang layak menyertai petandingan ini. Kalau macam saya ni, tak layak la kan. Belum isi borang lagi, dah disqualified.

Ketika menuntut di maktab perguruan dahulu, ramai rakan-rakan saya yang berbangsa kadazan dusun dari seluruh Sabah. Pernah sekali saya menyertai tarian sumazau bersama-sama mereka semasa Delegasi Hari Guru 2004 di Selangor. Kebetulan juga pada masa itu, Sabah sedang meraikan bulan Kaamatan. Tarian ni nampak saja mudah, tetapi kalau baru pertama kali menari tarian ini, agak sukar juga terutamanya pada pergerakan kaki. Mujurlah saya ni mempunyai sedikit asas tarian.

Bangga jugak menjadi rakyat Sabah ni. Masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum yang juga berbeza dari segi budaya dan adat resam, tidak menghalang untuk kami hidup dalam keadaan harmoni dan toleransi. Kemeriahan setiap perayaan di sambut bersama dengan penuh harmoni. Siapa pun akan terpikat dengan keunikan ini.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada semua warga Kadazan Dusun dimana saja anda berada ...... KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN.

No comments: