Wednesday, May 28, 2008

Menghayati Tanggungjawab Seorang Guru

Kita baru sahaja menyambut hari guru bagi tahun ini iaitu pada 16 Mei 2008. Tarikh keramat ini diambil sempena pelaksanaan Penyata Razak pada tahun 1956. Semenjak itu, sistem pendidikan di negara ini sentiasa meningkat dan diperbaharui bagi menyesuaikannya dengan perkembangan semasa. Bermula dari saat itu, 16 Mei disambut dengan meriah di pelbagai peringkat samaada di sekolah, negeri mahupun kebangsaan. Tujuannya adalah untuk memperingati jasa guru yang telah banyak menyumbang kepada pendidikan di negara ini.

Guru adalah insan yang tersemat dalam kamus kehidupan seorang anak didik. Tanpa guru, mustahil sesuatu ilmu dapat disampaikan dengan lebih jelas dan teratur. Sejarah juga menunjukkan guru sebagai satu medium untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di muka bumi ini. Tidak kira lah guru agama, guru bahasa, guru masakan, guru ilmu kebatinan, guru sukan dan sebagainya. Apa yang penting adalah guru merupakan seorang manusia yang dapat memberi tunjuk ajar dan menyalurkan ilmu melalui bimbingan serta menerangkan sesuatu maksud disebalik ilmu tersebut.

Pada hari ini, berapa ramai insan guru yang dapat menghayati bidang dan tanggungjawab mereka terutamanya dalam sistem pendidikan formal di Malaysia ini. Saya juga seorang guru. Tidak dinafikan adakalanya pelbagai persoalan dan karenah timbul dalam usaha mendidik anak bangsa kita ini. Ada yang mengatakan guru kini tidak sama seperti guru terdahulu. Kini, guru amat dibebani dengan tugas-tugas bukan mengajar. Hal ini telah dijadikan alasan atas kelemahan prestasi akademik di sekolah. Adakah ilmu yang disampaikan dalam pendidikan disekolah hanya menumpukan kepada peningkatan akademik semata-mata? Guru pula mula rasa terbeban dengan tekanan daripada pihak atasan yang inginkan peratusan akademik sentiasa meningkat saban tahun.

Bagi saya, ramai di kalangan kita yang tidak menghayati peranan kita sebagai seorang pendidik. Profesion perguruan dianggap sebagai periuk nasi bagi sesetengah guru. Maklumlah, banyak elaun-elaun dan juga insentif-insentif yang ditawarkan oleh kerajaan bagi menarik minat rakyat Malaysia untuk menyertai kerjaya ini. Pendidikan perguruan yang diterima selama ini hanya hafalan dan bukan penghayatan. Sebab itu ramai antara kita yang menjalankan tugas sambil lewa sehingga ada pihak yang menggelar ‘guru 25hb’.

Bagaimana tugas ini boleh dihayati agar ianya sejajar dengan hasrat kerajaan yang memerlukan modal insan sebagai peneraju bangsa pada masa akan datang. Setiap kali saya menatap wajah anak-anak murid saya di sekolah, bahu ini terasa memikul satu tanggungjawab yang besar dan berat. Saya sering memandang jauh masa depan mereka. Kelalaian seorang guru mungkin akan memberi kesan yang besar terhadap masa depan mereka. Apatah lagi harapan semua pihak terpikul sama. Harapan murid itu sendiri, ibubapa, pihak sekolah, kerajaan dan negara.... Ini sememangnya bukan isu kecil yang boleh dipandang remeh.

Apa yang perlu dilakukan dan bagaimana ianya boleh dihayati boleh kita bincangkan dalam artikel saya yang seterusnya nanti.

1 comment:

Aki Ijjal said...

a'kum,

saya hormati guru yang prihatin macam saudari. well..tidak ramai da guru seperti saudari pada zaman ini..ini satu hakikat yang perlu kita terima.

mungkin kita mahu menyedarkan guru agar kembali menghayati makna sebenar guru. dan mungkin juga peranan mereka sebagai guru. bagus la tu.. saya amat menyokong.

sebagai respon daripada saya yang bukan datang daripada guru secara profesion, satu hal yang telah di pandang ringan atau tidak dipandang pandang langsung pun ialah perihal 'rahsia' pendidikan itu sendiri. rahsia sudah tentu bermakna perkara tersirat di balik sesuatu.

apakah rahsia pendidikan? andainya dapat dijawap oleh semua guru yang terlibat dlam pendidikan secara langsung, maka saya cukup yakin semua guru tadi akan dapat merasai betapa kepuasan mereka mendidik tidaklah kepalang nikmatnya!

ianya tidak dapat saya jawap. kerana ia rahsia guru-guru yang terlibat dalam pendidikan itu sendiri. saya berpendapat begitu sebgai pemerhati luar yang terlibat dalam pendidikan secara tidak langsung.

maksud saya ialah keadaan sama juga akan berlaku kepada guru-guru sebgaimana manusia lain yang akhirnya mahukan kepuasan dan kebahagian. justeru itulah, saya mengatakan kepuasan dan kebahagiaan ini berada dalam perkataan rahsia itu tadi. di kala sesiapa pun dapat merungkai rahsia sesuatu maka di ketika itu jugalah kepuasan dan kebahagiaan yang dicari-cari tadi dapat dinikmati. sekaligus dalam kes ini, guru-guru bukan setakat dapat menghayati profesion mereka, malah lebih daripada itu mereka akan diangkat menjadi manusia mulia semulia Saidina Ali Karamallahuwajha yang digelar 'Gedung Ilmu' oleh Rasulallah s.w.a.

Sudah tentu gurulah sewajarnya menjadi gedung ilmu, bukan 'gudang garam'..rokok ba tu..sebab tu budak seoklah seawal sekolah rendah sudah pun mahir merokok..da guru merokok..

apa pun tahniah kepada semua guru..Selamat Hari Guru...Gracias..Thank You..Terima Kasih Guru..